Laluan Pejalan Kaki Berusia 150 Tahun

Laluan Ring

PADA tahun 1857, Maharaja Franz Joseph mengarahkan supaya satu perubahan radikal dilakukan ke atas bandar yang sedang pesat membangun, Vienna.
Pembangunan tersebut mestilah bertepatan dengan kecanggihan teknologi, kekuatan dan kekayaan penduduk negara tersebut yang berbangsa Austria-Hungary. 
Kini, laluan pejalan kaki yang terkenal di Austria dan seluruh dunia, Ringstrasse mencapai usia ke-150 tahun. 
Menurut kenyataan agensi-agensi pelancongan di negara tersebut, laluan sepanjang lima kilometer yang turut dikenali sebagai Ring itu berhampiran dengan istana, muzium dan bangunan bersejarah. 
Sambutan ulang tahun yang ke-150 itu dihiasi dengan pelbagai aktiviti dan pameran istimewa bagi mendekatkan para pelancong dengan sejarah seni bina di negara tersebut.
Kebebasan 
Maharaja Franz Joseph mengarahkan supaya dinding-dinding bangunan yang memisahkan antara askar Turki dan Napoleon dirobohkan dan satu laluan pejalan kaki yang lebih besar dibina. 
Laluan itu dibina hasil inspirasi seni bina di Paris, Perancis dan Munich, Jerman oleh Baron Haussmann dan Ludwig I. 
Selain itu, kerja-kerja pembinaan dilakukan oleh tiga orang arkitek terkenal Vienna ketika itu iaitu Gottfried Semper, Theophil Hansen dan Heinrich von Ferstel. 
Tema Kefahaman Sejarah dipilih bagi memberikan kebebasan kepada pereka-pereka untuk melakukan hasil kerja terbaik dengan rekaan era masa silam dalam dunia seni bina tanpa melibatkan kos yang besar. 
Antara seni bina yang turut dibangunkan ialah Dewan Bandar Raya berunsur (Flemish Gothic), universiti (Neo-Renaissance), rumah opera (Neo–Romantic), bangunan Parlimen (Neo-Classical) dan Tugu Pahlawan Greek serta Diana yang sangat gah. 
Selain itu, seni bina lain ialah Burgtheater, Muzium Sejarah Semula Jadi, Muzium Seni, Istana Neue Burg dan Hofburg serta Gereja Votivkirche yang kesemuanya saling melengkapi antara satu sama lain. 
Seorang sejarawan seni bina, Rainald Franz berkata, dia sangat kagum dengan bangunan yang di bina di laluan pejalan kaki tersebut kerana ia seolah-olah muzium seni bina. 
“Tujuan pembinaan bangunan tersebut adalah untuk membuktikan kepada dunia bahawa ini adalah metropolis antarabangsa,” katanya. 
Ringstrasse menjadi medan utama ketika era emas bandar Vienna menerusi susunan kafe bergemerlapan sepanjang laluan pejalan kaki itu. Ia turut menghimpunkan para intelektual elit pada ketika itu seperti komposer, Gustav Mahler, bapa psikoanalisis (Sigmund Freud) dan artis (Gustav Klimt). 
Lorong-lorong kosong antara bangunan-bangunan awam diisi dengan istana-istana mewah yang dimiliki oleh kaum Yahudi yang kaya-raya. 



Ringstrasse

Kurator Muzium Yahudi, Vienna, Gabriele Kohlbauer-Fritz berkata, kemegahan bangunan tersebut hanyalah pada luaran dan ia adalah untuk semua orang.
“Ringstrasse memang sangat menakjubkan tetapi pada waktu yang sama, ramai orang terpaksa berjuang untuk meneruskan kehidupan tidak kira kaum Yahudi atau sebaliknya. 
“Kebanyakan batu-bata yang digunakan dalam pembinaan Ringstrasse dibuat di kilang-kilang besar. Para pekerja yang kebanyakan berbangsa Czech terpaksa bekerja dalam keadaan yang teruk iaitu 15 jam sehari dan tujuh hari seminggu dengan dibayar dalam bentuk token syarikat bukannya duit,” ujarnya. 
Kagum 
Rakyat hidup dalam keadaan menderita dan golongan kelas bawahan hasil ditinggalkan Revolusi Industri menjadikan mereka lebih terbuka kepada puak anti-Semitism (fahaman anti-Yahudi). Mereka menyemai benih kebangkitan puak Nazi dengan melakukan pembunuhan beramai-ramai orang Yahudi. 
Lelaki di sebalik pembunuhan orang Yahudi secara beramai-ramai, Adolf Hitler mula melawat Vienna sekitar tahun 1906 ketika masih remaja dan terpegun dengan keindahan Ringstrasse.
“Selama berjam-jam saya mampu berdiri dengan penuh kekaguman. Ringstrasse memberikan sentuhan magis kepada saya kerana ia seolah-olah satu babak daripada Hikayat Seribu Satu Malam,” ujar Hitler. 
Dia kemudiannya tinggal di Vienna pada tahun 1908 dan 1913.
Ketika itu, dia gagal memasuki Akademi Seni Halus dan terpaksa tinggal di rumah perlindungan dengan menjual hasil karya lukisan-lukisan berkualiti yang mendapat inspirasi daripada bangunan-bangunan di Ringstrasse. 
Apabila Hitler berjaya menjadi diktator Nazi pada 12 Mac 1938, dia menjadikan Ringstrasse sebagai pintu masuk, sekali gus mengumumkan pengambilalihan kuasa di balkoni istana Neue Burg. 
Pada malam yang sama juga, jalan–jalan di Vienna menjadi saksi tindakan ganas tentera-tentera Nazi yang melakukan penyeksaan dan pembunuhan terhadap orang-orang Yahudi. – AFP

Comments

Popular posts from this blog

Kerjaya Lepasan Ekonomi STPM