Indahnya Cinta






Semua yang berlaku tanpa aku sedari. Hadirnya perasaan kasih itu entah bila. Saat aku dalam kesakitan menanggung kepiluan dan kerinduaan kepada insan yang telah tiada, kau hadir tanpa aku duga. Kehadiran dirimu tanpa ku sedari telah mengembalikan cahaya kegembiraan dalam hidupku yang selama ini sering aku tangisi. Sebelum kau hadir dalam hidupku, aku pernah rasakan apa itu bahagia saat diri ini mulai dicintai dan mencintai. Namun, semua kebahagiaan itu hanya hadir untuk sementara cuma, dia, dia yang aku sayang dan aku cinta telah pergi menghadap Ilahi buat selamanya. Ketika itu, hidup aku terumbang ambing. Hanya tagisan yang sering menemani diri ini. Tetapi, kehadiran dirimu yang dahulunya tidak aku sedari telah mengubah kehidupanku. Aku kini mulai bahagia kembali. 

Entah sejak bila kita mulai rapat, aku juga tidak pasti. Semuanya berlaku terlalu pantas sehinggakan aku tidak dapat mengingati bilakah kita mulai mengenali diri masing-masing dan aku masih tertanya-tanya sehingga kini. Puas sudah aku cuba untuk mengingati tetapi aku tetap gagal. Aku juga tertanya-tanya sejak bilakah kita mula berSMS ? Sungguh aku tidak ingat dan apakah punca disebalik kita mulai berSMS itu. Sungguh otak ini tidak dapat mengingatinya meskipun aku telah cuba mengimbasnya berulang kali. 

Bermula daripada SMS yang pertama itu, hari-hariku yang dahulunya sepi kini menjadi ceria kembali. Aku mulai rapat dengan dirimu dan tanpa kusedari rasa kasih sedikit demi sedikit muncul untuk dirimu. Tapi dalam masa yang sama, aku masih tidak mampu untuk melupakan kasih lama yang teah pergi. Kekasih yang banyak berkorban untuk diriku, yang sentiasa ada saat aku memerlukannya. Namun perkenalan yang hanya bertahan hampir 2 tahun telah terputus setelah dia disahkan meninggal pada tanggal 5/7/2012. Ya dia adalah cinta pertamaku, cinta yang susah untuk aku lupakan. Namun kehadiranmu yang aku gelar Mr.A telah mengubah diri ini. Tapi semua itu tidak lama, kasih yang mulai berputik dalam hati ini hancur begitu sahaja saat aku melihat dan mengetahui kau sudah berpunya. Sungguh sakit hati ini, hancur segalanya. Sakit yang aku rasakan jauh berbeza dengan sakit saat aku kehilangan kasih yang kucintai yang aku gelar Mr.N.

Mulai saat itu, aku tidak lagi menghubungimu kerana tidak mahu mengganggu hidup kau yang kian bahagia bersamanya. Tapi aku tetap mencuri pandang ke arah mu setiap kali kita bertemu ketika sama-sama belajar dalam satu kelas. Tapi aku tetap berpesan kepada hati, jangan berharap pada mu kerana kau adalah hak si dia. Namun kuasa Allah tiada siapa yang dapat menghalangnya. Suatu hari, kita sama-sama terpilih untuk menyertai satu program ke sebuah negeri. Sungguh saat itu aku berasa amat gembira. Tapi pada masa yang sama aku kecewa, kecewa kerana saat kita hendak bertolak memulakan perjalanan, aku terserempak dengan kau dan si dia. Hanya Allah yang tahu bertapa luluhnya sekeping hati yang mulai kembali bersinar. Tapi kau telah hancurkan sinarnya kembali seperti dulu saat aku kehilangan kasihku Mr.N.  Namun aku cekalkan juga hati ini agar tidak kecundang dihadapanmu. Bibir tetap mengukir senyuman di hadapan kau dan si dia. Perkenalan kita hanya mampu bertahan selama sebulan dan aku sedar hubungan ini akan berakhir. Segala kenangan aku simpan di dalam hati terutama kenangan yang mana aku suka memberi kau coklat setiap hari saat kelas bermula. Hmm..

Allahu akbar! Itu yang mampu aku ucapkan saat aku mendengar berita kau dan dia telah putus. Yang paling mengejutkan diri ini kalian putus selepas dua minggu kita pulang dari program di negeri Terengganu. Sungguh hati aku jatuh kasihan melihat kau, aku tahu kau amat sayangkan dia. Dia sangat sempurna dan istimewa bagimu, aku tahu itu. Tapi aku pelik, kenapa kalian berpisah sedangkan aku melihat kemesraan kau dan dia baik saja ketika di dalam kelas walaupun kemesraan itu hanya berlaku secara kebetulan, itupun kerana si dia yang memperlihatkannya.

Setelah sebulan kau dan dia berpisah, kau menghubungi aku kembali. Dan kali ini semuanya berbeza. Hati aku keras buatmu, entah mengapa dan hati ku berbicara sendiri mngingatkan aku tentang dirimu yang pernah kecewakan aku dan aku juga tahu kau masih sayangkan dia. Namun aku tetap menerima dirimu kembali dalam hidupku sebagai seorang sahabat sehinggalah beberapa bulan kemudian segalanya berubah. Kau mulai mengorak langkah, menunjukkan kasih sayangmu yang mulai menggoyahkan benteng keegoan yang telah aku bina.

Semua rakan-rakan yang rapat denganku mulai membantu mu, ‘mempromosikan’ kebaikanmu pada aku. “Terimalah dia Nita” itu ayat yang seringkali menembusi gegendang telinga aku. Tapi, ketika itu aku dalam kekeliruan untuk menerimamu atau sebaliknya. Kepercayaan aku padamu hilang saat hati aku hancur dahulu. Sungguh aku dalam dilema. Tanpa aku sedari hati ini mulai menikamku dari belakang. Hati ini mula mengkhianati tuannya. Hati ini kembali menyayangimu seperti dahulu bahkan rasa sayang itu semakin kuat hari demi hari sehinggalah aku mulai menerima kasihmu dalam diam. 

Kita berdua mulai rapat kembali, setiap hari ada saja mesej yang kau hantar sampai aku letih, letih merindui kau.  Tapi kisah kita berbeza, berbeza kerana bila di sekolah kita berdua seperti orang asing. Kau dan aku masing-masing tidak bertegur sapa sehingga menimbulkan syak wasangka terhadap rakan-rakan sekelas kita tambahan pula apabila mereka melihat aku ini ramah dengan semua rakan sekelas kita baik dengan kawan lelaki mahupun perempuan tapi bila dengan kau, aku jadi malu dan menjauh. Hanya gula-gula yang menjadi penghubung kita di dalam kelas dan MMS ketika dirumah.

Namun, emua itu hanyalah sementara saja, setelah peperiksaan STPM Penggal Kedua, kau mulai berbicara dengan aku walaupun kadang-kadang. Kau mulai menciptakan memori yang sangat indah untuk aku kenang kerana kita adalah pelajar tahun akhir yang akan berpisah pada hujung tahun 2013. Kau mulai melayan aku dengan penuh kasih sayang dan kenakalanmu menyentuh tangkai hati aku setiap hari. Bahagianya aku rasa. Masih aku ingat saat kau merenungku di hadapan kawan-kawan, sungguh aku malu dan aku mengalihkan pandangan dan berbual dengan rakan lain. “sweetnya kalian berdua” , itu lah ayat yang meniti di bibir kawan-kawan karibku. 

Ya Allah, malunya! Tapi kau tetap tak puas menyakat aku, hari-hari kau membuat aku berasa malu. Haish, sabar sajalah duhai hati. Kemanjaan dan kenakalanmu semakin menghancurkan benteng keegoan yang aku bina dan akhirnya benteng itu roboh sehingga menjadi abu. Kisah kita yang lebih indah bermula saat ramai kawan-kawan telah mengetahui tentang kita dan mulai menyakat. Kemana saja aku pergi, pasti akan disakat. Dan kau pula tak habis-habis dengan sikap melayan saja apa yang mereka sakat. Geramnya aku, tapi dalam geram terasa bahagia. 

21.9.2013, tarikh yang penuh bersejarah buat pelajar tahun akhir STPM di sekolah kita, kerana malam tersebut berlangsungnya acara majlis Graduasi Pelajar Tahun Akhir STPM 2013. Malam itu sangat bermakna buat aku, kerana pada malam itu kau dan aku berpakaian sedondon sehingga menarik perhatian kawan-kawan dan guru-guru. Sungguh aku tak menyangka akan berlaku hal itu. Malunya aku malam tersebut, semua rakan-rakan tak sudah menyakat dan aku pula seperti biasa, tak lekang dengan senyuman melayan. Malam itu sangat indah, kita makan dan berkongsi makanan bersama, bergambar bersama. Banyak memori telah tercipta dan aku rasa takut dengan setiap memori yang kita cipta bersama. Bila dikenangkan kembali setiap memori itu, aku mulai menangis, menangis kerana takut untuk berpisah denganmu di hujung tahun dan kerana takut sekirannya kau tinggalkan aku. Walapun kita telah berjanji tidak akan tinggalkan satu sama lain tapi rasa takut itu tetap hadir.

Hari demi hari berlalu dengan pantas, pelbagai kenangan telah tercipta dan kini telah sampai ke hujung tahun dan kita telah berpisah. Rindunya aku padamu hanya Allah yang tahu. Hati ini meronta ingin melihat senyummu dan matamu yang bercahaya itu, ya matamu bercahaya dan cahaya itu sangat indah. Tak puas rasanya kalau tidak  menatap mata itu walaupun sesaat. Astaghfirulla al azim, istighfar aku dalam hati kerana takut rindu ini semakin menenggelamkan aku. Tapi aku amat berharap agar dia tidak lagi membiarkan aku merasai kembali sebuah kehilangan, kehilangan yang telah menarik semangat aku secara tiba-tiba tanpa diduga.

“Ya Allah, dalam setiap sujudku, aku memohon agar Engkau tetapkan dia sebagai jodoh ku di dunia dan di akhirat sana. Jangan Engkau pisahkan kami Ya Allah, bantulah kami agar dapat membina sebuah mahligai indah”, itulah doa dan impian aku bersama Mr.A. ya, setiap helaan nafasku, ku mohon agar dia adalah jodoh ku kerana dia lain dari yang lain dan sangat sempurna dimata aku dan dalam dirinya aku melihat ada rasa kasih dan sayang buat aku. Dan kata-kata keramat, “aku sayang padamu” dan “jangan tinggalkan aku Nita” telah menjelaskannya. Sungguh hati ini terasa bahagia, dan semoga kebahagiaan ini akan berterusan sehingga aku dan dia menjadi suami isteri dan bersama hingga ke syurgaMu Ya Allah.. Amin.. J

Created by Miss J

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Bukit Merah Sahaja Mampu